Wednesday, July 7, 2010

Surat Dari Iman


Duhai hati, tenanglah dikau. Walau apapun yang datang menghiris dan merobek dirimu, tetaplah engkau dengan janji Allah. Duhai hati, seandainya ditakdirkan jalan yang engkau lalui tidak seindah impianmu, ingatlah Allah, Dia sentiasa bersama-sama hambanya yang sabar.
Surah Al-Baqarah, ayat 249:
















Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".
Duhai hati, jika air mata sering menemanimu dan tiada seorangpun yang menghulurkan tangan, mengadulah kepada Allah, hanya Dia yang memahami segala yang tersirat dan tersurat, hanya kepada Allah tempat kita bergantung dan berlindung.
Surah Al-Baqarah, ayat 115

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.
Duhai hati, jika pelangi indah yang engkau citakan tidak kunjung tiba, tabahlah engkau, agar rahmatNya sentiasa menyusul. Pintalah padaNya agar engkau sentiasa redha dan berlapang dada. Duhai hati, jika engkau merasakan penat dan lelah dalam perjuangan, ingatlah perjuangan para Rasul dan para sahabat, bukankah ujian yang dilalui mereka lebih pahit dan lebih getir?
Duhai hati, aku bukanlah srikandi hebat yang bertempur gagah di medan perang, bukan jua sang pungguk yang hanya menanti sang bulan bergolek dihadapannya. Tetapi, akulah iman yang sentiasa ada di sisimu. Duhai hati, akulah iman yang sentiasa ada untukmu dalam menggapai cinta dan keredhaanNya.
Surah Al-Baqarah, ayat 155:




Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Duhai hati, janganlah engkau meratapi takdirmu, hadapilah dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan. Percayalah duhai hati, sesungguhnya engkaulah insan yang dicintaiNya, kerana Allah tidak pernah membiarkan engkau alpa dan leka dengan keindahan duniawi. Duhai hati, sambutlah tanganku, gapailah impianmu bersama-samaku. Kerna ku tahu, engkaulah insan terpilih itu. 
Surah Al-Maidah, ayat 85:




Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.”
 
-Riwayat al-Hakim-

0 comments: