Friday, July 30, 2010

Keep In Mind


Sejauh manakah kesedaran kita terhadap perkembangan dunia Islam? Adakah kita benar-benar melaksanakan tugas-tugas kita sebagai seorang Muslim? Sudah cukupkah tanggungjawab yang kita laksanakan sebagai amanah dari Allah? Sejauh manakah kita melakukan amal soleh? Fikir-fikirkanlah.
Firman Allah dalam surah An-Nisa’, ayat 124:



Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.
Ramai antara kita yang melaungkan kata-kata keramat “KAMI BENCI ISRAEL!!!”, tetapi sedarkah kita bahawa secara tidak sedar sebenarnya kita juga seperti mereka? Buktinya? Berapa ramai masyarakat kita, mengaku Muslim tetapi berpakaian seperti yahudi? Berapa ramai anak muda kita yang lebih suka berpesta berbanding menghadiri solat jemaah dan majlis ilmu di masjid? Lalu pada siapakah kita ingin menunding jari? Nah, semuanya gara-gara kita sendiri yang terlalu mudah dieksploitasi oleh anasir luar tanpa usul periksa! Semuanya kerana kononnya ingin lebih up to date dan diterima ramai dan kononnya ingin open minded. Ces! Berani kamu membelakangkan hukum Allah, demi mendapatkan suatu yang nyata sia-sia! Ingatlah, matlamat tidak menghalalkan cara! Pedas bukan? Tetapi inilah hakikatnya. Kita ibarat kerbau dicucuk hidung, hanya mengikut tanpa mengetahui kesan dan akibat terhadap diri dan generasi akan datang. Apa yang ingin kita bawa kepada generasi kita sekiranya mereka bertanya “Apakah kualiti sebenar seorang Muslim?” sedangkan kita masih jauh terbelakang dari semua itu. Apa kita fikir kita tidak akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak?
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208:



Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Kita masih boleh memandang ringan soal aurat dan pakaian, apatah lagi pergaulan bebas. Sedangkan itulah yang menjadi punca kepada barah dalam masyarakat Islam kini. Tudung hanya dipakai apabila tibanya majlis pernikahan, kematian dan sebarang aktiviti yang hanya melibatkan masjid. Seolah-olah Islamnya kita ini hanya pada masa tertentu sahaja, na’udzubillah. Sedarkah dalam kita tidak sedar, sebenarnya kita telah melawan dan menentang hukum Allah. Kononnya tiada paksaan dalam agama, wah, begitu mudah kita mengeksploitasi ayat Allah. Tetapi adakah kita faham maksud sebenar ayat tersebut?
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 256:





Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Sememangnya Islam itu mudah kerana kita tidak perlu mengambil kira soal keturunan dan warna kulit untuk menjadi seorang Muslim. Kita hanya perlu mengucap dua kalimah syahadah dan memahami maksud disebaliknya, serta berpegang teguh kepada Al-Quran dan Al-Hadis. Kita juga hanya perlu mengambil wudhu’ untuk menunaikan solat. Begitulah nikmatnya menjadi seorang Muslim. Hidup kita juga bersaudara, wajib kita menegur dan membetulkan mana yang salah dan silap. Wajib kita membantu saudara kita yang memerlukan dan memelihara hubungan sesama Muslim. Tiada istilah kubur asing-asing, hidup masing-masing. Setiap pada kita bertanggungjawab dengan Muslim yang lain, kerana Muslim ibarat satu badan. Jika salah satu anggota sakit, maka badan juga akan terasa sakitnya.
 Islam juga mengajar ummatnya agar menghormati dan berkasih-sayang sesama makhluk. Ummat Islam sepatutnya menjadi contoh dan ikutan yang baik, supaya orang lain juga mencontohi kita. Cuba kita bayangkan, dalam sebuah Negara yang tiada arak, judi, rasuah, dan kes jenayah yang lain serta agama Islam tegak dengan gahnya, sudah tentulah aman Negara tanpa sengketa. Persoalannya, bilakah ianya akan menjadi kenyataan? Siapakah yang perlu bertanggungjawab dalam membina sebuah Negara Islam yang sepenuhnya menjalankan tanggungjawab sebagai NEGARA ISLAM? Ulama’? Ustaz? Ustazah? Pendakwah? Pemimpin? Siapa lagi kalau bukan kita sendiri yang memulakannya? Kerana Negara ini hak kita, yang mencorakkannya juga kita. Oleh itu, marilah kita sama-sama membentuk dan mendidik diri kita menjadi Muslim yang power, yang 100% Muslim, dan tidak mudah goyah dengan sebarang ancaman dan tekanan.
Memang tidak dapat dinafikan, untuk melaksanakannya bukanlah mudah, kerana ujiannya juga mencabar. Sedangkan ingin menikmati manisnya madu, kita perlu menghadapi beratus-ratus, malah beribu-ribu ekor lebah yang sengatannya bisa mengalirkan air mata dan keringat, inikan pula ingin mengecapi sebuah negara yang sepenuhnya menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah Negara Islam. Tetapi, jika kita semua bersatu dan saling melengkapi antara satu sama lain, kita semua pasti BOLEH! Tetapi bagaimana? Tekadkanlah didalam hati dan lantunkanlah semangatmu dengan tindakan perbuatan dan perkataan dari hati yang ikhlas kerana Allah. Percayalah, Allah itu maha berkuasa dan maha adil. Allah tidak akan mensiasiakan hambaNya yang taat dan patuh. Yakinlah dengan janji Allah. Yakinlah dengan sepenuh hati, jiwa dan raga.
Firman Allah dalam surah Ali-‘Imran, ayat 9:



"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
Ingatlah, janji Allah itu pasti, kehendak Allah itu tiada siapa yang bisa melawan. Lihatlah, siapa yang mampu menahan kejadian gunung berapi yang aktif, tsunami, gempa, dan sebagainya. Siapa yamg mampu? Adakah antara kita yang mampu? Tiada bukan? Lihatlah kuasa Allah yang tiada tandingan. Yakinlah dengan rezeki yang dianugerahkan itu adalah amanah, laksanakan dan gunakanlah dengan sebaiknya. Kerana kita ialah hamba Allah yang merdeka, lihatlah betapa pemurahnya Allah. Sentiasa memberi hambaNya ruang dan peluang untuk terus bernafas dan menikmati hidup ini.  
Sama-samalah kita memperbaiki diri dalam menuju redha Allah.

0 comments: