Thursday, August 26, 2010

Indahnya Cinta Kita


Indahnya hidup dengan Islam ^_^

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi di atas limpah kurnia dan rahmatNya, diri ini lahir ke dunia ini sebagai Muslim. Terima kasih buat mak dan ayah yang telah banyak member didikan dan dan dorongan untuk kami terus teguh  berdiri sebagai seorang Muslim. Walaupun hidup kami tidak mewah, tetapi kelahiran kami sebagai seorang Muslim sudah cukup melengkapkan hidup kami sebagai seorang hamba kepadaNya.
Hari demi hari, kami sudah mula menginjak dewasa, kami mula mengenal Islam yang kami cintai. Islam bukanlah agama rekaan manusia, tetapi ia adalah agama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui Jibril agar disebarkan kepada kita, ummat Muhammad. Islam mengajar kami bahawa Allah itu satu, tiada yang lain selainNya dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Kami diajar rukun Islam yang 5, mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat, dan menunaikan haji di Mekah bagi yang mampu. Kami juga diajar rukun iman yang 6, beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, qada’ dan qadar dan hari kiamat. Semua itu mengajar kami betapa Islam itu agama yang indah.
Dalam rukun Islam yang pertama, ia mengajar kami bahawa tiada tuhan salain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Allah itu tuhan yang maha Esa, tiada lain yang layak disembah melainkanNya. Dia tidak beranak dan diperanakkan.
"Katakanlah (wahai Muhammad):" "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya" [Surah Al-Ikhlas: 1-4]
Maha suci Allah, tuhan sekalian alam.
Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.[Surah Al-Baqarah: 110]
Kami diajar untuk menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Secara tidak langsung, kita dapat lihat betapa Islam mengajar ummat ini agar menjaga masa dan kebersihan. Apa kaitannya menjaga masa dan kebersihan dengan solat? Mari kita lihat, dalam setiap solat 5 waktu, ia mempunyai jarak masa yang tertentu dan terhad. Islam mengajar agar kita menunaikan solat pada awal waktu, agar nanti kita lebih khusyuk dan tidak terburu-buru dalam solat. Begitu juga dengan kehidupan seharian, bagaimana ceritanya jika kita melakukan sesuatu perkara dengan berlengah-lengah? Sudah tentulah banyak kerja kita yang lain tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna dan ia merugikan kita. Bukan itu sahaja, kerja yang kita lakukan juga tidak berkualiti dek kerana nak cepat siap dan mengejar masa. Dalam solat 5 waktu juga mengajar kita agar menjaga diri dan tempat solat suci daripada najis. Kita diwajibkan mengambil wudhu’ bagi yang berhadas kecil dan mandi wajib bagi yang berhadas besar sebelum menunaikan solat.
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. [Surah Al-Ma’idah:6]
Lihatlah, betapa Islam mendidik ummat ini agar sentiasa bersih dan suci. Sebenarnya banyak lagi manfaat yang kita peroleh daripada solat, jika ingin diceritakan, tak habis sehari semalam.
Kita lihat pula bagaimana pula Islam mendidik ummatnya dalam ibadah puasa. Puasa bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga, malah ia mendidik manusia agar bersabar dan mengawal diri. Ibadah puasa dapat mendidik kita bagaimana perasaan orang yang dalam kesusahan yang tiada makanan menahan lapar dan dahaga. Bayangkan sahaja, kita yang sudah tentu mempunyai juadah yang lazat lagi berkhasiat untuk berbuka puasa pun berasa lemah, apa lagi mereka yang tiada langsung makanan untuk dijamah. Sungguh indah Islam yang kita miliki ini, mengajar kita menyelami situasi dan perasaan orang yang kesusahan dan memerlukan.
Dalam rukun Islam yang keempat, kita diwajibkan mengeluarkan zakat tidak kira siapa pun kita, sama ada yang miskin mahupun yag kaya. Indahnya Islam. Bukan sahaja yang kaya diberi peluang untuk membantu, yang dalam kekurangan juga diberi peluang untuk membantu, malah mereka juga dibantu. Zakat menyucikan harta, memberi kepada yang memerlukan, sepertimana firman Allah s.w.t:
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. [At-Taubah : 60].
Indahnya Islam yang kita miliki.
Kita pergi pula kepada rukun Islam yang kelima, menunaikan haji ke Mekah bagi yang mampu. Ibadah haji merupakan kemuncak pengabdian dan melambangkan ketauhidan yang unggul. Mengapa? Kerana semakin hampir dengan Baitullah, maka semakin bertambah kerinduan para jemaah haji terhadap Baitullah, begitulah hati-hati mereka yang ikhlas. Perjalanan jemaah haji bukan sekadar musafir yang menuju ke Baitullah, malahan ia lebih daripada itu. Perjalanan jemaah haji merupakan perjalanan menuju Allah, perjalanan rabbaniyyah, perjalanan rohaniah yang mendekatkan hati para jemaah kepada Allah dan mengukuhkan hubungan dengan Allah berbekalkan ketaqwaan kepada Allah. MasyaAllah. Semoga kita semua berpeluang ke sana, InsyaAllah.
"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.[Surah Al-Haj: 27]

0 comments: