Friday, August 13, 2010

TELAH DATANG KASIH YANG DINANTI



Ahlan Ya Ramadhan. Alhamdulillah, syukur padaMu ya Allah. Kami masih bisa berdiri dan bernafas dalam bulan yang mulia ini. Hembusan angin Ramadhan yang bisa menyejukkan seluruh isi bumi dan alam semesta ini sangat tidak ternilai harganya buat kami. Ramadhan yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, masyaAllah, sungguh beruntung ummat Muhammad ini ya Allah, maha suci bagiMu ya Allah. 

Firman Allah, dalam surah Al-Baqarah: 

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Al-Baqarah:183)


(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (Al-Baqarah:184)




(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah:185)

Di bulan yang mulia ini, masjid-masjid mula penuh, hari-hari yang berlalu mulai meriah dengan bacaan ayat suci al-Qur’an. Alangkah indahnya sekiranya bi’ah solehah ini dapat diteruskan dalam bulan-bulan yang lain. Tidak mahukah kita? Menjalani hari-hari dengan penuh taqwa kepadaNya? Sama-samalah kita membentuk diri dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, semoga nanti kita juga dapat memelihara iman kita dalam bulan-bulan yang lain.

"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." - Hadis riwayat Muslim

Ramadhan adalah penawar bagi kita. Mengapa? Pada bulan inilah manusia mula sibuk dengan mencapai tasbih, membentang sejadah, membuka lembaran kitab suci al-Qur’an serta bersedekah. Kesedaran manusia mulai meningkat, sungguh, Ramadhan inilah penawar bagi kita semua.


0 comments: