Friday, July 30, 2010

Keep In Mind


Sejauh manakah kesedaran kita terhadap perkembangan dunia Islam? Adakah kita benar-benar melaksanakan tugas-tugas kita sebagai seorang Muslim? Sudah cukupkah tanggungjawab yang kita laksanakan sebagai amanah dari Allah? Sejauh manakah kita melakukan amal soleh? Fikir-fikirkanlah.
Firman Allah dalam surah An-Nisa’, ayat 124:



Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.
Ramai antara kita yang melaungkan kata-kata keramat “KAMI BENCI ISRAEL!!!”, tetapi sedarkah kita bahawa secara tidak sedar sebenarnya kita juga seperti mereka? Buktinya? Berapa ramai masyarakat kita, mengaku Muslim tetapi berpakaian seperti yahudi? Berapa ramai anak muda kita yang lebih suka berpesta berbanding menghadiri solat jemaah dan majlis ilmu di masjid? Lalu pada siapakah kita ingin menunding jari? Nah, semuanya gara-gara kita sendiri yang terlalu mudah dieksploitasi oleh anasir luar tanpa usul periksa! Semuanya kerana kononnya ingin lebih up to date dan diterima ramai dan kononnya ingin open minded. Ces! Berani kamu membelakangkan hukum Allah, demi mendapatkan suatu yang nyata sia-sia! Ingatlah, matlamat tidak menghalalkan cara! Pedas bukan? Tetapi inilah hakikatnya. Kita ibarat kerbau dicucuk hidung, hanya mengikut tanpa mengetahui kesan dan akibat terhadap diri dan generasi akan datang. Apa yang ingin kita bawa kepada generasi kita sekiranya mereka bertanya “Apakah kualiti sebenar seorang Muslim?” sedangkan kita masih jauh terbelakang dari semua itu. Apa kita fikir kita tidak akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak?
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208:



Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Kita masih boleh memandang ringan soal aurat dan pakaian, apatah lagi pergaulan bebas. Sedangkan itulah yang menjadi punca kepada barah dalam masyarakat Islam kini. Tudung hanya dipakai apabila tibanya majlis pernikahan, kematian dan sebarang aktiviti yang hanya melibatkan masjid. Seolah-olah Islamnya kita ini hanya pada masa tertentu sahaja, na’udzubillah. Sedarkah dalam kita tidak sedar, sebenarnya kita telah melawan dan menentang hukum Allah. Kononnya tiada paksaan dalam agama, wah, begitu mudah kita mengeksploitasi ayat Allah. Tetapi adakah kita faham maksud sebenar ayat tersebut?
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 256:





Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Sememangnya Islam itu mudah kerana kita tidak perlu mengambil kira soal keturunan dan warna kulit untuk menjadi seorang Muslim. Kita hanya perlu mengucap dua kalimah syahadah dan memahami maksud disebaliknya, serta berpegang teguh kepada Al-Quran dan Al-Hadis. Kita juga hanya perlu mengambil wudhu’ untuk menunaikan solat. Begitulah nikmatnya menjadi seorang Muslim. Hidup kita juga bersaudara, wajib kita menegur dan membetulkan mana yang salah dan silap. Wajib kita membantu saudara kita yang memerlukan dan memelihara hubungan sesama Muslim. Tiada istilah kubur asing-asing, hidup masing-masing. Setiap pada kita bertanggungjawab dengan Muslim yang lain, kerana Muslim ibarat satu badan. Jika salah satu anggota sakit, maka badan juga akan terasa sakitnya.
 Islam juga mengajar ummatnya agar menghormati dan berkasih-sayang sesama makhluk. Ummat Islam sepatutnya menjadi contoh dan ikutan yang baik, supaya orang lain juga mencontohi kita. Cuba kita bayangkan, dalam sebuah Negara yang tiada arak, judi, rasuah, dan kes jenayah yang lain serta agama Islam tegak dengan gahnya, sudah tentulah aman Negara tanpa sengketa. Persoalannya, bilakah ianya akan menjadi kenyataan? Siapakah yang perlu bertanggungjawab dalam membina sebuah Negara Islam yang sepenuhnya menjalankan tanggungjawab sebagai NEGARA ISLAM? Ulama’? Ustaz? Ustazah? Pendakwah? Pemimpin? Siapa lagi kalau bukan kita sendiri yang memulakannya? Kerana Negara ini hak kita, yang mencorakkannya juga kita. Oleh itu, marilah kita sama-sama membentuk dan mendidik diri kita menjadi Muslim yang power, yang 100% Muslim, dan tidak mudah goyah dengan sebarang ancaman dan tekanan.
Memang tidak dapat dinafikan, untuk melaksanakannya bukanlah mudah, kerana ujiannya juga mencabar. Sedangkan ingin menikmati manisnya madu, kita perlu menghadapi beratus-ratus, malah beribu-ribu ekor lebah yang sengatannya bisa mengalirkan air mata dan keringat, inikan pula ingin mengecapi sebuah negara yang sepenuhnya menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah Negara Islam. Tetapi, jika kita semua bersatu dan saling melengkapi antara satu sama lain, kita semua pasti BOLEH! Tetapi bagaimana? Tekadkanlah didalam hati dan lantunkanlah semangatmu dengan tindakan perbuatan dan perkataan dari hati yang ikhlas kerana Allah. Percayalah, Allah itu maha berkuasa dan maha adil. Allah tidak akan mensiasiakan hambaNya yang taat dan patuh. Yakinlah dengan janji Allah. Yakinlah dengan sepenuh hati, jiwa dan raga.
Firman Allah dalam surah Ali-‘Imran, ayat 9:



"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
Ingatlah, janji Allah itu pasti, kehendak Allah itu tiada siapa yang bisa melawan. Lihatlah, siapa yang mampu menahan kejadian gunung berapi yang aktif, tsunami, gempa, dan sebagainya. Siapa yamg mampu? Adakah antara kita yang mampu? Tiada bukan? Lihatlah kuasa Allah yang tiada tandingan. Yakinlah dengan rezeki yang dianugerahkan itu adalah amanah, laksanakan dan gunakanlah dengan sebaiknya. Kerana kita ialah hamba Allah yang merdeka, lihatlah betapa pemurahnya Allah. Sentiasa memberi hambaNya ruang dan peluang untuk terus bernafas dan menikmati hidup ini.  
Sama-samalah kita memperbaiki diri dalam menuju redha Allah.

Monday, July 26, 2010

Mimpi Dato'

Darul Taqwa & Dato' Johar



Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan.

"Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman."

Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini.

"Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang. Nanti didendanya pakcik," kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.

Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini . Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya. Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden.

Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka...Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar.

"Hoi budak, Aku dimana sekarang ?" soalnya kepada budak yang menegurnya tadi.

Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat,tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak. Serban mereka berwarna hitam berjalur biru.

"Assalamualaikum....Maaf, pakcik. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kesalahan membuang sampah ini sudah belasan tahun tidak berlaku di Darul Taqwa ini. Kami terpaksa mendenda pakcik. Kebersihan itu lambang iman. Negara ini menitikberatkan iman.... Pakcik didenda, 30 kali subhanallah, 30 kali astaghfirullah dan selawat 100 kali."

Kata pegawai penguatkuasa itu dengan lembut. Datuk Dr. Johar tersentak. Apa namanya undang-undang ini. Tak ada dewan bandaraya di seluruh pelusuk dunia mengamalkannya. Dia tercengang-cengang. Namun egonya membumbung tinggi. Apa ? Dia nak marahkan aku ?

" Ni duit lima ratus. Saya tak mahu buat apa yang kamu minta. Kita selesaikan di sini saja. Berapa gaji yang kamu dapat sebulan ? " tanyanya angkuh.

"Pakcik, kita bekerja kerana Allah, bukan kerana gaji. Lagipun duit bukan ada harga lagi di zaman ini. Semuanya dipandang sebagai alat, bukan matlamat," kata pegawai berjanggut dan berjambang itu dengan tenang.

"Oh, oh .... maafkan kami, pakcik. Kami nak tanya sikit, kenapa pakcik pakai pakaian zaman dulu? Mana pakcik dapat pakaian macam itu ?" Tanya pegawai itu pula.

Aku yang gila, atau dia yang gila? Detak hati Datuk Dr. Johar. Dia berjalan ke arah kereta Ferrari yang berkilat itu. Melalui cerminnya dia nampak perawakannya dengan jelas. Tak ada yang salah. Tali leher, kemeja dan kotnya masih kemas dan segak. Daripada jenama yang mahal pula - Pierre Cardin. Kasutnya hitam berkilat daripada jenis Bally. Ah! Aku masih unggul. Lelaki tampan, lambang status dan kejayaan. Dia yang kolot, dia yang ketinggalan zaman.

"Anak muda, pakaian pakcik ni pakaian pemimpin. Pakcik orang besar di negara ini. Pakcik dah keliling dunia dengan pakaian ni. "

"Pakcik, itu pakaian puluhan tahun yang lampau. Ketika Islam belum berdaulat di Darul Taqwa ni. Moyang-moyang kami dulu saja yang pertahankan pakaian macam itu. Itu pakaian orang kuno di Barat. Sekarang, kami hanya dapat lihat gambar-gambarnya saja. Itupun dalam buku sejarah zaman peralihan Islam. Orang Barat zaman moden ini dah berpakaian macam yang kami pakai. Tak ada orang yang pakai macam tu kecuali orang-orang bukan Islam yang dijamin kebebasannya dalam sebuah negara Islam seperti darul Taqwa."

Datuk Dr. Johar termanggu-manggu kebingungan. "Di mana aku sebenarnya ni?" Dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan. Dia masih kenal, Ini Jalan Chow Kit ditengah bandar Kuala lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tak ada.

"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din,Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini."

Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah? Apa dia mujahadah tu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar.

"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak boleh sekarang, lepas sembahyang nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan Akhirat..."

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh.Nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur berlari kepada seorang pegawai penguatkuasa.

"Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah ! seksa Neraka amat pedih..Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya di hukum di Akhirat!" rayu lelaki itu.

Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Ia lari sekuat-kuat hati.Peliknya mereka tidak mengejarnya. Ia terlepas ...Lega.Dahaga , lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan.Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba ia terdengar suara komputer dari sound system di tepi-tepi jalan :
"Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al Abrar, hartawan besar berada di jalan Uwais Al Qarni. Dia merayu fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini ia menjamu nasi dan minuman. Sila datang!"

Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah.Matanya tak betah lagi melihat semua itu.Tapi kerana lapar ia masuk juga.

"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki."

"Ceh! Diskriminasi, doubel-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan."Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya. "Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni!".

Lelaki itu tersenyum. "Empat puluh tahun yang lalu adalah.Sekarang ni kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir Muhammad,pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs.Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan,"terangnya. Mukanya jernih.Serban dan jubahnya serba putih.

"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni..."

"Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama-nama ideologi tu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada orang lagi yang berpegang dengan fahaman jahiliyyah tu... Subhanallah...." Keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya. Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika ia manggeleng -gelengkan kepalanya.

Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun duduk. "Nasi beriani sepinggan !"ujarnya kepada pelayan.

"Dalam pinggan, tuan?" tanya pelayan itu kehairanan.

"Ya ! Apa peliknya?",

"Baik,tuan.Tapi semua orang berebut-rebut pahala makan berjamaah. Tuan makan seorang ?" tanya pelayan berkulit hitam itu.

Dia tambah geram.direnung ke hadapan, iaitu ketempat orang menikmati makanan.Tidak ada meja makan hanya hamparan permaidani tebal dengan dulang-dulang indah yang tersusun rapi. Mereka makan satu dulang. Yek! Jijiknya. Ah! Aku tetap aku. Aku ada pendirian! Nasi beriani dengan ayam goreng kegemarannya terhidang di atas kain putih khas.

"Jemput makan dengan nama Allah yang memberi rezeki," kata pelayan itu dengan sopan.

Datuk Dr.Johar makan dengan seleranya. Dewan makan itu berhawa dingin lengkap dengan alat TV dan pita videonya sekali. Dia makan seorang diri bagai kera sumbang.

" Ya Allah, apa musibah yang menimpa ana Subuh tadi. Ana masbuk dalam sembahyang jemaah Subuh, " ujar seorang lelaki muda dengan wajah yang kecewa. Suapnya perlahan. Macam tak lalu makan saja

"Anta tak cuba tampung dengan amal makrufat yang lain ?"tanya sahabatnya di sebelah.Dia nampak simpati.

Datuk Dr. Johar pasang telinga saja. "Ana nak sedekahkan lima ribu ringgit ...malang nasib ana. Ana tunggu lima jam di tepi jalan tadi, seorang pun tak mahu terima sedekah ana " Keluhnya."Susah kita sekarang. Orang miskin yang bolot pahala redha, pahala sabar. Mereka patutnya bantulah kita.Tolonglah terima sedekah kita.Ah, susahnya jadi orang kaya macam kita ini. Dahlah nanti di Akhirat banyak hisabnya, Di dunia orang tak sudi pula terima sedekah kita.”

“Oh...!” keluh seorang yang sama-sama makan dengan lelaki muda tadi."Kalaulah kita hidup zaman moyang kita dulu, kan dapat kita korbankan harta yang banyak ini. Saya pun dapat harta ni melalui warisan daripada bapa, yang diwarisi oleh datuk saya daripada moyangnya. Kita tunggulah bila kerajaan nak bangunkan projek negara atau nak gunakan duit untuk kemaskinikan kementerian-kementeriannya.... saya nak labur habis-habisan. Biar jadi saham Akhirat," kata pemuda itu menutup perbualan. Mereka pun makan dengan perlahan -lahan.

Datuk Dr.Johar makin pelik. "Tambah nasi sepinggan lagi!" ujarnya kepada pelayan restoran.

"Demi kesihatan tuan, saya nasihatkan ... berhentilah sebelum kenyang.Maaf tuan saya terpaksa mengatakan demikian. Saya pelayan kedai merangkap pegawai perubatan ....," kata pelayan itu lagi.

"Apa? Awak pegawai perubatan? Seorang doktor ke? Kelulusan luar negeri atau dalam negeri? Awak sepatutnya bertugas di hospital, bukan di restoran!" bentaknya. Marah campur geram.

"Tuan, mana ada hospital sekarang.Yang ada khusus untuk bayi, kanak-kanak dan wanita, juga para mubaligh dan mujahid yang cedera ketika berjuang. Tuan, kalau tuan amalkan makan hanya bila lapar dan berhenti sebelum kenyang, tuan akan sihat, insya-Allah. Kita tak perlu hospital!”

"Bodoh, kalau macam tu, macam mana nak rawat pesakit kencing manis macam aku ini ?" leternya perlahan-lahan.

"Penyakit kencing manis? Tuan menghidapnya? Saya ada baca buku perubatan edisi tahun 1990 dulu. Sekarang penyakit tu dah tak ada siapa menghidapnya....."

"Batalkan saja oder saya tadi, banyak sangat cakap, boring. Saya perlu hiburan sekarang ...Di mana boleh saya dapati ?" tanyanya.

"Di sana, tuan. Melalui butang pada sistem komputer di sebelah sana, tuan boleh dapat apa saja hiburan yang menyegarkan. Tak payah risau pasal bil. Percuma.”

Datuk Dr. Johar, orang besar negara, melangkah hebat ke tempat yang ditunjukkan. Berbagai -bagai butang dengan bermacam warna berkelip-kelip. Sangat rumit tapi kekeliruan itu dapat disembunyikannya. Dia malu kalau-kalau dengan pakaian jenama Pierre Cardinnya ia masih kelihatan kolot.. Entah di mana falsafah moden Datuk Dr. Johar. Pada pakaiannyakah atau otaknya? Diberanikan hatinya; satu butang warna hitam ditekan . Dalam skrin timbul tajuk besar-KHAUF. Apa bendanya ni? Kemudian menyusul nama-nama lagu: MATI ITU TERLALU SAKIT, ALAM BARZAKH YANG PASTI, MIZAN NOKTAH PENYESALAN, IZRAEL DATANG TIBA-TIBA Oh...Oh ... seram sejuk tubuhnya. Apa nama lagu macam ini? Biarlah menaruh harapan sikit.
Hatiku macam kristal, boleh pecah dengan lagu-lagu macam tu. aku belum nak mati lagi, protes hati Datuk Dr.Johar.

Dia beralih ke butang hijau tanpa lengah terus menekannya. Tertera di atas skrin komputer: RAJA'. kemudian tersembul tajuk-tajuk lagu. Dibacanya dengan teliti... FIRDAUSI MELAMBAIMU, DEMI CINTA DAN RAHMAT-NYA, KEINDAHAN JANNAH YANG ABADI….. Kepala datuk Dr. Johar makin pusing. Semuanya tentang Akhirat. Apa nak jadi ni? "Tak ada lagu yang hot sikit ke?" tanyanya kepada seorang anak muda berjubah coklat di sebelahnya.

"Nanti ya pakcik . Saya pilihkan lagu yang paling hot sekarang ni.Top-hit anak-anak muda sekarang..."

"Ya, ya saya setuju," balas Datuk Dr. Johar. Telinganya dihalakan kepada sistem suara di dinding restoran itu. Dia ingin dengar lagu-lagu kegemaran muda-mudi daerah asing itu.

Ayat suci Al-Quran a... "Eh ...ni suara orang mengaji,"

"Nanti dulu pakcik,selepas ni ada terjemahannya kemudian baru menyusul lagunya," kata pemuda berjubah cokat itu sambil matanya di tutup rapat-rapat. Asyik sekali dia.

Kemudian getaran suara bergema

.... Cintaku berlabuh di persada rahmat-Mu
mendamba kasih yang tidak berhujung
mengutip sayang di hamparan cinta suci.
Inilah getaran hatiku memburu cinta.......
stanza hati merindu Ilahi!"

Datuk Dr. Johar tak tahan lagi. Ia merengus dan pergi ke kaunter bayaran.

"Maaf tuan, duit ini duit lama. Kalau tuan tak mampu bayar kami halalkan sajalah ..."

Datuk Dr. Johar makin geram. Dia menderam dan berkata " Saya bayar dengan kad kredit saja!" Dia hulurkan kad kredit warna keemasannya.

"Maaf sekali lagi, tuan. Kad kredit ini bukan yang boleh kami terima, kami halalkan sajalah."

"Tak, pantang saya minta sedekah. Saya ada harta simpanan berbungkal-nungkal emas di bank. Takkan saya nak bawa, nanti disambar pencuri."

" Darul Taqwa tak ada pencuri, tuan. Pencuri terakhir telah dipotong tangannya 30 tahun yang lalu ketika minta dihukum di hadapan hakim kerana takutkan seksa Neraka."

"Ah, aku tak nak dengar semuanya.makin gila aku dibuatnya," pekik Datuk Dr. Johar lantas meluru keluar dari restoran itu. Di luar,semua pandangan menyakitkan hati. Mengapa orang kolot ini mentadbir teknologi begini tinggi.

Pemandu bullet train berserban merah tersenyumkepadanya. Pilot helikopter dengan tulisan 'MAKRUFAT AIR TRANSPORT' sibuk dengan urusannya. Di seberang jalan tertegakpapan iklan dengan tulisan yang jelas :"KELUARGA BAHAGIA GEMBIRA DENGAN SUNNAH ". Di papan itu terpampang gambar seorang lelaki dan perempuan berserta anak-anak meraka. Semuanya berserban, berjubah dan berpurdah.

Isy,meluatnya! Di jalan-jalan raya suasana meriah dengan salam dan senyum. Baginya,semua itu seolah-olah menyindir dan mengejek. Kenapa jadi begini? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Mengapa? Mengapa? Mengapa? Datuk Dr. Johar tiba-tiba menjerit. Tekanan dalam jiwanya yang kian tersumbat itu tiba-tiba meletus.

"Datuk..!Datuk..! Bangun, Datuk. Ada berita buruk !"

Datuk Dr.Johar bangun. Ia tertidur sewaktu menunggu keputusan pilihanraya hari itu.

"Kenapa? Parti kita kalah? Aku kalah? "tanya Datuk Dr. Johar.

"Tidak, Tuk. Rakyat bangun memprotes. Mereka tak mahu demokrasi.Mereka tak mahu pilihanraya..."

"Habis, mereka mahu apa?"

"Mereka mahu Islam, Datuk!"

"Islam ? " keluh Datuk Dr. Johar. Digosok-gosok lagi matanya.

"ISLAM KAN TETAP DIJULANG WALAUPUN IA DITENTANG..ITULAH JANJI ILAHI" 

Sumber: Ggzize

Wednesday, July 14, 2010

7 GOLONGAN

Simple but meaningful ^_^




























Credit to:



Wednesday, July 7, 2010

Surat Dari Iman


Duhai hati, tenanglah dikau. Walau apapun yang datang menghiris dan merobek dirimu, tetaplah engkau dengan janji Allah. Duhai hati, seandainya ditakdirkan jalan yang engkau lalui tidak seindah impianmu, ingatlah Allah, Dia sentiasa bersama-sama hambanya yang sabar.
Surah Al-Baqarah, ayat 249:
















Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".
Duhai hati, jika air mata sering menemanimu dan tiada seorangpun yang menghulurkan tangan, mengadulah kepada Allah, hanya Dia yang memahami segala yang tersirat dan tersurat, hanya kepada Allah tempat kita bergantung dan berlindung.
Surah Al-Baqarah, ayat 115

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.
Duhai hati, jika pelangi indah yang engkau citakan tidak kunjung tiba, tabahlah engkau, agar rahmatNya sentiasa menyusul. Pintalah padaNya agar engkau sentiasa redha dan berlapang dada. Duhai hati, jika engkau merasakan penat dan lelah dalam perjuangan, ingatlah perjuangan para Rasul dan para sahabat, bukankah ujian yang dilalui mereka lebih pahit dan lebih getir?
Duhai hati, aku bukanlah srikandi hebat yang bertempur gagah di medan perang, bukan jua sang pungguk yang hanya menanti sang bulan bergolek dihadapannya. Tetapi, akulah iman yang sentiasa ada di sisimu. Duhai hati, akulah iman yang sentiasa ada untukmu dalam menggapai cinta dan keredhaanNya.
Surah Al-Baqarah, ayat 155:




Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.
Duhai hati, janganlah engkau meratapi takdirmu, hadapilah dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan. Percayalah duhai hati, sesungguhnya engkaulah insan yang dicintaiNya, kerana Allah tidak pernah membiarkan engkau alpa dan leka dengan keindahan duniawi. Duhai hati, sambutlah tanganku, gapailah impianmu bersama-samaku. Kerna ku tahu, engkaulah insan terpilih itu. 
Surah Al-Maidah, ayat 85:




Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.”
 
-Riwayat al-Hakim-