Monday, October 11, 2010

PELIKKAH?

Pagi itu, Qibah keluar dari bilik menuju ke kelas dengan membawa Al-Qur’an. Semalam Qibah telah bertemu dengan ustazah Iman, pensyarah Pengajian Islam itu  untuk menyemak bacaan Al-Qur’annya. Pensyarah berusia awal 30-an itu bersetuju untuk menyemak bacaan Qibah pada hari ini. 

Selesai kelas yang pertama, Qibah tidak menyertai rakan-rakan yang lain untuk minum pagi di café. “Jannah, Qibah nak jumpa ustazah Iman, Jannah dengan yang lain pergi dulu ya”. Qibah memberitahu Jannah sambil memeluk beg kecil berwarna biru muda yang berisi Al-Qur’an. “Ok, Qibah nak kami tunggu ke?” Jannah bertanya sambil memandang beg biru muda yang dipeluk Qibah. “Takpe, Qibah kenyang lagi, sarapan pagi tadi”. Qibah memberikan alasan. “Eh, apa yang ada dalam beg kecil tu?”, Jannah kehairanan kerana melihat Qibah begitu menjaga beg tersebut seperti ada benda berharga di dalamnya. “Owh, dalam beg ni ada Qur’an”, Qibah menjawab pendek. “Eh? Kenapa bawak Qur’an?”, Jannah memandang Qibah kehairanan. “Ni nak buat hantaran kahwin, hihi…”, Qibah menjawab dengan gurauan. “Ada-ada ajalah awak ni Qibah, ok, kita jumpa di dewan kuliah petang nanti ya”, Jannah meminta diri sambil melambaikan tangannya. Qibah membalas lambaian sahabatnya itu dengan senyuman.

Qibah tiba di bilik ustazah Iman, tetapi ustazah Iman tiada. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi, satu mesej diterima, “Assalamu’alaikum. Qibah, awak tunggu saya di bilik kuliah 2”, mesej daripada ustazah Iman itu membuatkan Qibah berasa lega. “Eh, Qibah buat apa kat sini? ”, Satu suara menyapanya. “Qibah nak jumpa ustazah Iman, tapi dia suruh Qibah tunggu dia kat bilik kuliah 2, qibah pergi dulu ya”, Qibah menjawab pertanyaan Kak Aisyah sambil memasukkan telefon bimbitnya ke dalam beg. “Sekejap Qibah, apa yang ada dalam beg kecil tu?”, Kak Aisyah memandang beg kecil berisi Al-Qur’an yang dipeluk Qibah. “Dalam ni ada Qur’an ”, sekali lagi Qibah menjawab pendek. “Eh? Kenapa bawa Qur’an pulak?”, Kak Aisyah mengerutkan dahinya. “Saje je, hihi…”,Qibah tersengih menjawab soalan Kak Aisyah, rakan sebiliknya semasa dia berada di semester satu, dua thun yang lepas. “Peliklah Qibah ni”, Kak Aisyah memandang Qibah dengan penuh kehairanan. “Tak pelik pun, hihi…ok Kak, Qibah Pergi dulu ya, Assalamu’alaikum”, Qibah meminta diri dan terus berlalu. 

Qibah berlari anak menuju ke bilik kuliah 2, khuatir jika ustazah Iman sudah sampai terlebih dahulu. Setibanya di hadapan bilik kuliah 2, Qibah berasa lega kerana ustazah belum sampai lagi. Qibah menanti ustazah iman di hadapan bilik kuliah 2 sambil bersandar di koridor. Sungguh, Qibah berasa hairan apabila rakan-rakannya seolah-olah berasa pelik apabila Qibah menjawab isi yang ada di dalam beg kecil biru muda itu adalah Al-Qur’an. Pelikkah aku membawa kitab suci ini? Qibah bermonolog sendirian. Sebenarnya, bukan Jannah dan Kak Aisyah sahaja yang berkerut dahi apabila mengetahui isi yang terdapat dalam beg kecil biru muda yang dipeluk Qibah itu, malahan Dila, Nisa dan beberapa rakan yang lain juga mengerutkan dahi mereka. Jika di sekolahnya dahulu, membawa Al-Qur’an kemana-mana bukanlah suatu perkara yang pelik ataupun aneh. Inilah yang membezakan sekolahnya dengan tempat yang dia belajar kini. Jika disekolah, jemaah di surau penuh, boleh dikatakan hampir semua pelajar lelaki boleh mengimamkan solat dan membaca do’a. Berbeza pula dengan tempat belajarnya kini, boleh dikatakan pelajar lelaki yang mampu mengimamkan solat dan membacakan do’a ialah seratus dalam satu, kebanyakan pelajar lelaki di sini lebih pakar dalam ‘mengayat’ pelajar perempuan dan bergaya dengan fesyen terkini. Sungguh, Qibah sangat merindui zaman persekolahannya dahulu, hatinya sentisa sejuk dengan bi’ah solehah yang mekar di sana. 

“Assalamu’alaikum Qibah, jauhnya termenung, dah lama tunggu?”, Ustazah Iman mematikan lamunan Qibah sambil tersenyum. “Taklah, baru sampai”, Qibah gembira melihat Ustazah Iman dihadapannya sambil memberikan senyuman kepada pensyarah yang dikaguminya itu. Mereka masuk ke dalam bilik kuliah dan Qibah memulakan bacaannya… 

0 comments: