Petang itu kami duduk di pangkin di hadapan rumah Tok Ki sambil mendengar celoteh daripada Tok Ki. Aku masih ingat lagi kata-kata Tok Ki kepada kami, “Cucu-cucu Tok Ki mesti puasa penuh tahun ni, kalau tak…”, “Kalau tak, tak boleh raya, kan Tok Ki?”, kami serentak tertawa dengan gelagat Abang Cik, belum sempat Tok Ki menghabiskan kata-katanya, Abang Cik terus mnyampuk. Lalu Abang Long menepuk bahu Abang Cik dan menegur perbuatannya yang kurang sopan itu. “Tak apa, betullah apa yang Abang Cik cakap tu…tapi kalau cucu-cucu Tok Ki nak tahu, puasa ni mengajar kita menjadi hamba Allah yang lebih hebat”, Tok Ki meneruskan celotehnya. “Macam mana tu Tok Ki?”, aku mula berteka-teki. “Ada empat perkara:”, Tok Ki menyambung kata-katanya...
Pertama:
Puasa mengajar kita rasa keterikatan dengan Allah. Mengapa? Kerana apabila berpuasa, kita akan berasa lapar dan dahaga. Bila dah lapar dan dahaga, mulalah rasa nak makanlah, minumlah, tapi, disebabkan sedar akan tanggungjawab kita sebagai Muslim yang berpuasa di bulan Ramadhan, lalu kita membatalkan niat kita itu, kerana kita berasa Allah melihat kita. Hebat kan?
Kedua:
Pada bulan puasa juga kita berasa lebih mudah untuk beribadah. Kenapa? Sebab kita berada dalam keadaan lapar dan dahaga, dalam keadaan ini, nafsu kita dapat dikawal dan pada waktu ini, syaitan juga tidak dapat menggoda anak Adam. Maka, mudahlah untuk kita melakukan ibadah seperti solat, tadarrus Al-Qur’an, zikir, sedeqah dan macam-macam lagi. Kalau kita betul-betul manfaatkan masa ini, insyaAllah, kita akan menjadi hamba Allah yang lebih taat.
Ketiga:
Puasa mendidik jiwa. Bagaimana? Puasa secara tidak langsung mendidik jiwa kita agar bersifat sabar dan tidak melampau. Dalam menjalani ibadah puasa, kita bukan sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga, kita juga menahan diri daripada mengikut hawa nafsu dan banyak bersabar. Malahan, puasa mengajar kita bagaimana orang yang hidup susah terpaksa mengikat perut untuk makan dan minum. Dengan ini, puasa mengajar kita agar bersyukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah dan tidak berlebih-lebihan dalam berbelanja.
Keempat:
Puasa menerbitkan rasa kasih-sayang. Pernahkah kita terfikir? Betapa uniknya ibadah puasa di bulan Ramadhan ini. Ibadah puasa mendidik kita agar menyelami kesempitan hidup saudara kita yang hidup susah dan serba kekurangan. Ini akan dapat mengeratkan lagi perasaan kasih-sayang antara kita kerana kita juga dapat merasa bagaimana perasaan mereka.
“Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan yang ada pada Ramadhan pastilah umatku akan mengharapkan setahun seluruhnya menjadi ramadhan.”
(Hadis Riwayat Khuzaimah)
Sehingga kini aku masih ingat lagi empat perkara yang pernah disebut oleh Tok Ki. Kini, baru aku mengerti betapa puasa sebenarnya jika kita hayati dengan sepenuhnya, ia mampu mengembalikan kita kepada fitrah yang suci. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment