Hospital
Hari itu sudah masuk hari yang
ketiga sepupuku berada di ward. Sepanjang waktu itu, aku menemani isterinya
yang sedang sarat mengandung dan anaknya yang semakin bijak dan lincah. Aku cuba
sebaik mungkin untuk membantu, kerana aku tahu, bukan mudah untuk Kak Nurul
menghadapi waktu getir ini.
Aku kagum, Kak Nurul begitu
tabah. Air mata yang mengalir itu bukanlah kerana lemahnya dirimu, tetapi
itulah kekuatan yang engkau keluarkan untuk menghadapi saat getir ini. Hakikatnya,
aku juga menangis, sedih, pedih melihat Kak Nurul menghadapi ujian getir ini. Tetapi aku sembunyikan air mataku, aku tidak
mahu air mataku yang tumpah ini melunturkan semangat Kak Nurul.
Aku mahu Kak Nurul terus kuat dan
Abang Cik segera sembuh. Ameen…
Kereta Putih
Malam itu aku menggagahkan diri
untuk menyeberang jalan yang sibuk, untuk membeli makanan di restoran
berhampiran. Jalan di sini sememangnya sibuk dan kenderaan yang lalu lalang
tidak pernah putus. Tambahan pula kedudukannya hampir dengan sebuah hospital swasta
yang terkemuka, menjadikan laluan di sini bertambah sibuk dengan kenderaan yang
ingin masuk ke kawasan hospital.
Apa yang aku ingin ceritakan di
sini bukanlah mengenai hospital ataupun kenderaan yang sibuk, tetapi apa yang
aku ingin ceritakan adalah mengenai…
Sambung balik cerita…
Setelah berjaya melintasi jalan,
aku duduk dan memilih menu yang dipesan. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya.
Aku cuba untuk menunjukkan reaksi yang tenang, meskipun aku agak bimbang dengan
cucaca hujan, adakah kebarangkalian untuk aku sampai dengan selamat ke hospital
seberang?
Setelah makanan yang dipesan siap
dibungkus dan dibayar, aku melangkah ke luar restoran dengan selamba. Meskipun hati
aku masih berkira-kira untuk melintasi jalan yang sibuk pada waktu hujan
begini. Aku berdiri agak lama untuk melintasi jalan, kenderaan yang lalu
kebanyakannya laju dan rapat jaraknya. Setelah berjaya melintasi laluan pertama,
tiba-tiba sebuah kereta putih meluncur laju ingin memotong kereta dihadapannya.
Aku melangkah beberapa tapak kebelakang untuk mengelak daripada dilanggar. Ketika
itu, aku hanya berserah pada Allah. Mujurlah tiada kereta yang lalu
dibelakangku ketika itu, tiada kenderaan yang lalu lalang. Alhamdulillah, aku
selamat. Aku memandang lama ke arah kereta yang hampir melanggarku. Kereta tersebut
terus berlalu dengan laju, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Setelah beberapa ketika menunggu
lagi untuk menyeberang laluan yang seterusnya, tiba-tiba sebuah kereta putih
berhenti untuk memberikan laluan. Aku cuba untuk melihat siapakah empunya
kereta putih yang baik hati itu, tetapi dalam keadaan cuaca hujan ditambah pula
dengan keadaan malam yang hanya diterangi dengan lampu jalan, agak sukar untuk
aku mengenalpasti. Aku hanya sempat untuk mengangkat tangan yang penuh dengan
bungkusan makanan sambil menundukkan kepala sebagai tanda terima kasih.
Terima kasih tuan empunya kereta
putih, semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah-Nya kepadamu. Aku melangkah
masuk ke hospital dengan perasaan yang begitu kagum dengan pertolongan Allah. Alhamdulillah.