Monday, April 15, 2013

HUJAN




Hospital

Hari itu sudah masuk hari yang ketiga sepupuku berada di ward. Sepanjang waktu itu, aku menemani isterinya yang sedang sarat mengandung dan anaknya yang semakin bijak dan lincah. Aku cuba sebaik mungkin untuk membantu, kerana aku tahu, bukan mudah untuk Kak Nurul menghadapi waktu getir ini. 

Aku kagum, Kak Nurul begitu tabah. Air mata yang mengalir itu bukanlah kerana lemahnya dirimu, tetapi itulah kekuatan yang engkau keluarkan untuk menghadapi saat getir ini. Hakikatnya, aku juga menangis, sedih, pedih melihat Kak Nurul menghadapi ujian getir ini. Tetapi aku sembunyikan air mataku, aku tidak mahu air mataku yang tumpah ini melunturkan semangat Kak Nurul.

Aku mahu Kak Nurul terus kuat dan Abang Cik segera sembuh. Ameen…

Kereta Putih 

Malam itu aku menggagahkan diri untuk menyeberang jalan yang sibuk, untuk membeli makanan di restoran berhampiran. Jalan di sini sememangnya sibuk dan kenderaan yang lalu lalang tidak pernah putus. Tambahan pula kedudukannya hampir dengan sebuah hospital swasta yang terkemuka, menjadikan laluan di sini bertambah sibuk dengan kenderaan yang ingin masuk ke kawasan hospital. 

Apa yang aku ingin ceritakan di sini bukanlah mengenai hospital ataupun kenderaan yang sibuk, tetapi apa yang aku ingin ceritakan adalah mengenai… 

Sambung balik cerita…

Setelah berjaya melintasi jalan, aku duduk dan memilih menu yang dipesan. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Aku cuba untuk menunjukkan reaksi yang tenang, meskipun aku agak bimbang dengan cucaca hujan, adakah kebarangkalian untuk aku sampai dengan selamat ke hospital seberang?

Setelah makanan yang dipesan siap dibungkus dan dibayar, aku melangkah ke luar restoran dengan selamba. Meskipun hati aku masih berkira-kira untuk melintasi jalan yang sibuk pada waktu hujan begini. Aku berdiri agak lama untuk melintasi jalan, kenderaan yang lalu kebanyakannya laju dan rapat jaraknya. Setelah berjaya melintasi laluan pertama, tiba-tiba sebuah kereta putih meluncur laju ingin memotong kereta dihadapannya. Aku melangkah beberapa tapak kebelakang untuk mengelak daripada dilanggar. Ketika itu, aku hanya berserah pada Allah. Mujurlah tiada kereta yang lalu dibelakangku ketika itu, tiada kenderaan yang lalu lalang. Alhamdulillah, aku selamat. Aku memandang lama ke arah kereta yang hampir melanggarku. Kereta tersebut terus berlalu dengan laju, seolah-olah tiada apa yang berlaku. 

Setelah beberapa ketika menunggu lagi untuk menyeberang laluan yang seterusnya, tiba-tiba sebuah kereta putih berhenti untuk memberikan laluan. Aku cuba untuk melihat siapakah empunya kereta putih yang baik hati itu, tetapi dalam keadaan cuaca hujan ditambah pula dengan keadaan malam yang hanya diterangi dengan lampu jalan, agak sukar untuk aku mengenalpasti. Aku hanya sempat untuk mengangkat tangan yang penuh dengan bungkusan makanan sambil menundukkan kepala sebagai tanda terima kasih. 

Terima kasih tuan empunya kereta putih, semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayah-Nya kepadamu. Aku melangkah masuk ke hospital dengan perasaan yang begitu kagum dengan pertolongan Allah. Alhamdulillah.

0 comments: