Tuesday, November 1, 2011

Al-An'am


Tanggal 11 Zulhijjah , pagi itu aku dan Angah sudah tidak sabar untuk melihat orang-orang kampung menyembelih lembu yang dibeli oleh ayah seminggu yang lalu. Inilah pengalaman pertama aku melihat bagaimana proses penyembelihan dijalankan. Walaupun jauh di sudut hati kami, kami berasa sayang untuk melihat lembu itu dikorbankan.

“Cucu atuk buat ape kat sini?” Atuk menyapa kami sambil memegang bahu angah dan menarik tanganku yang yang sedang menggigit jari.  “Atuk, kami sayang kat lembu tu, semalam Angah dan Along baru je bagi lembu tu makan,  tapi kalau dah sembelih nanti, tak dapatlah kami nak bagi die makan lagi, kan Along? ” Aku mengangguk, tanda setuju dengan kata-kata Angah.  “Tak salah cucu atuk sayang kat lembu tu, tapi di sinilah kita dapat melihat sejauh mana diri kita sanggup mengorbankan harta yang kita ada untuk beribadah kepada Allah. Dengan ibadah korban, ia mendidik kita agar tidak kedekut dan tidak tamak dengan harta yang kita miliki. Harta yang Allah kurniakan kepada kita bukanlah hanya untuk kita nikmati sendiri, tapi ia perlu dikongsi dengan orang lain yang berhak menerimanya.

Ibadah korban juga perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas, kerana Allah tidak menerima amalan orang yang tidak ikhlas. Kita perlu jelas dengan tujuan ibadah korban dilaksanakan, ia perlu dilakukan dengan niat kerana Allah untuk mendekatkan diri dengan Allah serta mendapatkan ganjaran yang telah dijanjikan.” Atuk bersyarah panjang. “Oh, Along tahu, macam cerita Habil dan Qabil kan atuk?” Aku mencelah. “Ya, pandai cucu atuk, kisah Habil dan Qabil adalah antara sejarah yang boleh dikaitkan dengan ibadah korban. Dalam surah Al- Ma’idah ayat yang ke-27, Allah berfirman maksudnya:

“dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) Yang berlaku Dengan sebenarnya, Iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari Yang lain (Qabil). berkata (Qabil):" Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang Yang bertaqwa.”

“Oh, kalau macam tu, nanti Along besar, Along nak buat korban tiap-tiap hari, mesti dapat banyak pahala, kan atuk?” Atuk tersenyum mendengar celotehku. “Hurm, tapi ibadah korban dilakukan pada tarikh tertentu sahaja, iaitu pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah pada setiap tahun. Haiwan untuk korban juga dikenali sebagai haiwan Al-An’am, seperti kambing, lembu, unta, kerbau, dan biri-biri.” “Kalau macam tu, Angah tak bolehlah korbankan ayam, sebab ayam bukan haiwan Al-An’am, kan atuk?” Angah bertanya lagi.

“Betul tu Angah, selain tu, hukum korban bagi Mazhab Syafi’e adalah sunat mu’akkad bagi yang mampu dan makruh hukumnya sekiranya ditinggalkan.” “Ye atuk, ustaz kat sekolah Along pun ade bagi tahu macam tu, satu pertiga bahagian korban dimakan, satu pertiga lagi diagihkan kepada orang Islam fakir miskin dan satu pertiga lagi diagihkan kepada jiran tetangga, kenalan dan muslim yang terlibat sebagai sedekah ataupun hadiah.” Atuk tersenyum mendengar celotehku. “Betul tu Along, bagus cucu-cucu atuk”.

Tiba-tiba kedengaran suara takbir dilaungkan Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Bismillah, Allahumasolli‘ala Muhammad, Allahumma haazihi minka wa ilaika fataqabbal minni, Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar! Walillahil hamd. Urat halkum dan marih diputuskan, dengan pisau yang telah diasah oleh ayah, selesailah penyembelihan  pada hari penuh bersejarah itu…