Thursday, October 3, 2013

ALHAMDULILLAH 1



Kebiasaan. Tanpa kita sedar, kebiasaanlah yang membentuk diri kita. Kalau dulu, ketika masih di bangku sekolah, kami diwajibkan memakai tudung labuh, lama kelamaan terasa bosan. Bosan dengan tudung labuh yang menyusahkan, berat, panas. Alasan. Pernah aku menyatakan kepada sahabat baikku ketika menuruni tangga untuk ke kantin, “lepas ni tak nak dah pakai tudung labuh ni, pasni, kelua sekolah, nak pakai jeans, t-shirt…”. Gila! Entah apa yang merasuk fikiranku ketika itu, aku pun tidak pasti. Mungkin kerana terlalu banyak membaca majalah Remaja yang terlalu gila mempamerkan fesyen yang entah dari mana, membuatkan kami gila dan lupa.

Tamat persekolahan, aku menyambung pelajaran di salah sebuah IPT, melihat keadaan sekeliling, aku merasakan sesuatu. Janggal dan ganjil. Yup itulah yang aku rasakan. Ku pandang sekeliling, kebanyakannya semuanya seperti orang yang baru beluar daripada helaian majalah Remaja yang sering aku belek ketika di bangku persekolahan. Aku cuba untuk menyesuaikan diri, namun apa yang aku peroleh adalah kesempitan dan kehantuan. Aku mula bertanya pada diri, “bukankah ini yang kau mahukan? Tidak terikat dengan peraturan, seronok, suka,”.

Sejak itu, aku mula mendapat jawapan yang pasti. Kebiasaan. Kebiasaan yang dulu aku rasakan rimas, susah dan berat, rupanya itu telah sebati dengan diriku. Yang rimas, susah dan berat itulah yang aku rindu. Aku mula menapak, mencari dan memahami. Kerana tidak mahu melulu, aku cuba untuk faham mengapa dan bagaimana. Aku mendapat jawapan lebih kukuh daripada jawapan kebiasaan. Alhamdulillah, walau kadangkala aku merasakan janggal dan kekok, aku bersyukur, indahnya aturan Allah. Kekok bukan kerana kebiasaanku, tetapi kekok dengan keadaan sekeliling yang melihatku janggal.

Tiga tahun di sana, membuatku cukup rindu, rindu dengan sekolah yang dulu aku rasakan meyesakkan, rimas dan susah. Rindu dengan suraunya yang imarah pada setiap waktu, bacaan Al-Qur’an anak-anaknya yang jarang terputus, bacaan Al-Ma’thuratnya yang lancar di setiap usai solat asar dan subuh, waktu dhuhanya yang disambut dengan solat sunnat, tanpa disuruh dan dipaksa. Aku yakin, guru-guru pasti bangga melihat anak-anak di sini. 20 minit waktu rehat dibahagikan dengan waktu dhuha dan mengalas perut sementara menunggu waktu makan tengahari di dewan makan. Indah, indah dengan suasananya, amalan anak-anaknya. Meskipun kenakalan anak-anaknya kadangkala memeningkan, mungkin itulah hiburan buat guru-guru yang tidak pernah lelah berbakti. Istimewa, memang istimewa, anak-anaknya cerdas, masalah disiplinnya tidak berat, boleh aku katakan, kenakalan anak-anak sekolah hakikatnya hiburan buat guru-gurunya.
Apa kuncinya keindahan yang aku sebut-sebutkan? Tazkirah. Usrah. Yup, kami mendengar peringatan pendek daripada anak-anak putera, usai solat berjemaah di surau. mengadakan halaqah besar pada setiap hari jumaat, mendengar dan berbincang tajuk-tajuk yang dibawakan oleh anak-anak puteri tingkatan atas dan guru kesayangan kami, Ustazah Raja Fatimah dan Ustazah Hjh. Rogayah.

Setelah aku meninggalkan bangku sekolah, baru aku menyedari hakikat ini. Tanpa kebiasaan, aku merasakan kosong, sepi, dan kaku. Hakikatnya, tiga tahun aku menghabiskan diplomaku, aku sangat dan teramat rindu dengan suasana kebiasaan ketika di bangku sekolah. Terasa seperti mahu waktu diputarkan semula dan dihentikan di sana. Mustahil. Aku tahu. Aku berkira-kira untuk kembali dalam dunia dan suasana kebiasaanku setelah tamat pengajian diploma. Destinasi seterusnya haruslah persis seperti sekolahku. Aku meletakkan syarat. Hanya satu tempat yang ku kira boleh menepati syaratku. Meskipun pada awalnya aku sedikit goyah dengan tawaran IPTA, tetapi ayah menguatkan keputusanku. KUIS. Inilah nama yang mungkin kedengaran bukanlah nama yang besar ataupun bukan IPT idamanku ketika di bangku sekolah, kurasakan di sinilah aku akan dapatkan semula suasana kebiasaan yang aku rindu. Tidak banyak, mungkin sedikit. Sekurang-kurangnya aku selesa dan senang di sini. Senang. Selesa. Bukanlah bermakna aku bergoyang kaki sambil melambai tangan, tetapi aku senang dengan suasananya, aku selesa dengan rentak dan langkah di sini. 

Akhirnya, aku seperti anak kecil yang kelelahan bermain di waktu tengahari disogok dengan air sejuk, dingin dan manis. Kuhabiskan kesemua airnya, setelah habis, kutuangkan lagi. Berlari dan berkejar dengan kebiasaan dulu yang aku rindu. Walau kadangkala memenatkan, kadangkala sehingga menitiskan air mata, aku puas, akhirnya aku temu dengan kebiasaan yang aku rindu.

Kini, tiga tahun pengajian, aku mula pelajari satu lagi hakikat. Satu hakikat yang perlu aku hadapi, mahu atau tidak, kehidupanku bukanlah di sini. Dunia luar. Bagi sesetengah orang mungkin ia meyenangkan, tetapi bagi aku, cukup menakutkan. Di sanalah nanti akan ku jumpa singa yang lapar, serigala yang menyeringai, dan sang kancil yang licik. Realitinya, itulah suasana di luar sana. Tiada siapa yang boleh menjangka apa yang akan berlaku. Apa yang aku harapkan hanyalah kekuatan dari-Nya. Semoga hati ini tetap dan tidak dibolak-balikkan. Semoga ada insan yang menguatkan dan mendorong. Semoga dan semoga…