Monday, March 18, 2013

KUTLAR VADISI FILISTIN

Nantikan ulasannya di sini.

PENYIARAN TV: SYURGA ATAU NERAKA




(NILAI PENYIARAN DARI PERSPEKTIF ISLAM)

‘Nilai’ diertikan sebagai sesuatu yang baik, dianggap betul dan benar. ‘Nilai’ dalam bahasa arab adalah ‘qimah’. Dari perspektif Islam, qimah  adalah menegakkan  kebenaran dengan kesahihan yang lurus.  Seperti mana Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Bayyinah ayat 2 hingga 5 yang bermaksud:         
  
(yaitu) seorang Rasul dari Allah (Muhammad) yang membacakan lembaran-lembaran yang disucikan (Al Quran) (2).  Di dalamnya terdapat (isi) kitab-kitab yang lurus (3). Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan Al Kitab (kepada mereka) melainkan sesudah datang kepada mereka bukti yang nyata (4). Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan salat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang lurus (5).

Perkataan ‘diinul qayyimah’ yang terdapat pada ayat ke-5 surah ini bermaksud, agama yang lurus, iaitu jauh daripada perbuatan syirik yang menyekutukan Allah dan jauh daripada kesesatan. Inilah nilai yang ditekankan dalam Islam, setiap perkara yang dilakukan ada panduan dan nilaiannya yang hak hanya disisi Allah.  Ini bermakna, matlamat setiap perkara yang dilakukan hendaklah semata-mata untuk beribadah kepada-Nya dan mencapai redha-Nya. Tidak kira siapa kita, dimana kita, atau apa jua bidang yang kita kuasai, peranan kita sebagai hamba Allah perlu kita akui dan hayati. 

Sepertimana tugas dalam bidang penyiaran, tanggungjawab yang digalas bukanlah sedikit. Setiap perkara yang disampaikan kepada khalayak hendaklah berpandukan kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah agar nilai yang disampaikan kepada khalayak tidak sesat dan menyesatkan. Tidak perlu untuk kita mengikut acuan barat yang bertentangan dengan syari’at Islam, sedangkan Islam telah memberikan kepada ummatnya garis panduan dalam melakukan setiap perkara. Hal ini seharusnya kita ambil sebagai peluang untuk kita lahir sebagai ummat yang cemerlang dan terbilang dimata dunia, ianya tidak sepatutnya dipandang sebagai penghalang kepada kita untuk terus maju dalam arus kemodenan yang semakin pesat tetapi gersang dalam menggarap nilai-nilai yang mampu mendidik masyarakat. 

Disebabkan kegagalan penyiaran televisyen menjadikan Al-qur’an dan As-Sunnah sebagai panduan, bidang penyiaran dipandang negatif oleh pihak yang tertentu. Titik tolak nilai sesebuah penyiaran dalam Islam adalah dari sudut perlaksanaan yang bersifat syar’ie dan tanpa sebarang unsur secularisme, liberalism dan hedonism. Teknologi penyiaran seharusnya dimanfaatkan secara total dan memandu masyarakat menyedari keagungan dan kekuasaan Allah. Kegagalan dalam hal ini akan menyebabkan masyarakat terus terdedah dan hanyut dengan unsur-unsur secularism, liberalism dan hedonism.
Pengamal bidang penyiaran perlu lebih serius dalam membina penyiaran Islam kukuh. Untuk mencapai kejayaan ini, matlamat sesebuah penyiaran perlu jelas, iaitu mencapai redha Allah dan sepenuhnya berpandukan syarak. Segala gerak kerja dalam penyiaran sehinggalah kepada output yang dihasilkan dianggap sebagai ibadah. Segala hasil dan gerak kerja yang menafikan ajaran Islam dan keagungan Allah dianggap sia-sia dan tidak bernilai. Konsep taqwa juga perlu diterapkan agar mencapai martabat tertinggi disisi Allah s.w.t, sepertimana firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud:
 
Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal (13).

Dalam menjalankan gerak kerja penyiaran dan menghasilkan output yang bernilai, akhlak Islamiyah perlu ditanam dalam diri setiap individu. Ianya penting, lebih-lebih lagi suasana di Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama. Prinsip keadilan dan dakwah perlu dibawa bersama-sama dalam setiap gerak kerja dan output yang dihasilkan. Konsep dakwah, iaitu amar ma’ruf nahi munkar yang bermaksud menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran perlu dijadikan objektif utama dalam penghasilan produk penyiaran. Dengan adanya pendekatan dakwah kepada masyarakat, ia mampu mendidik masyarakat dalam menyeimbangkan pembangunan rohani dan fizikal dalam kehidupan mereka. Secara tidak langsung, ia mampu mencabut segala unsur liar sekularisma yang berakar umbi dalam kehidupan masyarakat. Fahaman memisahkan agama dalam bidang ini perlu diperbetulkan dan dipandang serius oleh segenap pihak dan masyarakat. Sekiranya gagal, ia akan merosakkan nilai-nilai sejagat yang akhi-akhir ini dipertahankan, namun bergoncang lantaran  keterlekaan kita yang tamak mengejar kekayaan dan keuntungan duniawi yang hanya sementara.

Penyiaran Islam tidak boleh dihadkan hanya kepada ‘rancangan agama’, tetapi mestilah merangkumi aspek kebudayaan, informasi, sastera dan lain-lain kategori yang mesti dipandu dengan pemikiran Islam berasaskan kepada pengawasan tauhid dan konsep taqwa (Zulkiple 2004). Menurut beliau juga, program yang disiarkan perlu dipandu kearah pendidikan dan informasi. Program seperti ini perlu dipandang luas dan tidak hanya tertumpu pada forum atau ceramah semata-mata. Pengamal bidang penyiaran perlu sedar akan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah dalam menyebarluas pemikiran dan cara hidup Islam yang sebenar. Ini bukanlah bermakna hiburan tidak dibenarkan dalam Islam, tetapi Islam telah menggariskan panduan dalam berhibur dikalangan ummatnya. Islam meraikan fitrah manusia yang inginkan keseronokan dan hiburan, hiburan dalam Islam diharuskan selagi mana ianya tidak bercampur dengan perkara yang haram, ianya halal dilaksanakan. Sekiranya terdapat perkara yang melibatkan dosa seperti arak, dadah, judi, maksiat, pergaulan tidak dibatas dengan syarak, pendedahan aurat, dan melampau, maka jatuhlah hukum haram walaupun pada asalnya ialah harus.
Setiap program yang ingin disiarkan mestilah dikaji terlebih dahulu nilai dan mesej yang bakal diperoleh oleh khalayak. Rujukan daripada ahli agama juga perlu agar ianya selari dengan ajaran Islam. Meskipun mereka tidak mempunyai kepakaran dalam bidang penyiaran, tetapi pemikiran dan idea mereka amat diperlukan bagi memastikan penyiaran Islam yang mempunyai nilai disisi Allah dilaksanakan secara total.  Gabungan yang mantap antara pengamal bidang penyiaran dengan ahli agama ini akan menjadikan penyiaran Islam menjadi realiti, dan bukan lagi mimpi disiang hari.

Pembentukan penyiaran Islam perlu dijalankan secara konsisten dan kukuh, agar usaha untuk mewujudkan penyiaran televisyen menuju ke syurga dapat dibentuk dan dikekalkan. Meskipun kini sudah ada usaha kearahnya, tetapi perlaksanaan yang bersifat menyeluruh masih belum dicapai. Kita tidak seharusnya membiarkan penyiaran di Negara ini terus dipelopori oleh golongan materialis. Kemakmuran dan kesejahteraan hidup masyarakat bukanlah diukur dengan kekayaan harta dan keseronokan yang tidak terbatas, tetapi ia bergantung kepada jaminan dan nilai yang diterapkan dalam kehidupan seharian. Akal dan jiwa yang kosong dari pengisian rohani akan mudah dicampur dengan anasir luar yang merosak dan membusukkan jiwa. Lalu lahirlah masyarakat yang cintakan dunia dan takutkan mati, dunia diletakkan dihati, bukan ditangan mereka. Sedangkan kebahagiaan yang hakiki bagi orang-orang yang beriman dengan hari kiamat adalah syurga akhirat yang kekal buat selama-lamanya. Bagi mencapai penyiaran syurga, matlamat dan objektif utama penyiaran mestilah bersandarkan keredhaan Allah dan menyampaikan dakwah Islamiyah.